
Editor dibesarkan dengan sebuah hobi iaitu lebih banyak mendengar muzik dan radio. Ketika remaja, selepas tamat sekolah, editor melakukan beberapa kerja sambilan dan duit gaji setiap bulan akan digunakan sebahagiannya untuk membeli kaset dan cakera padat (CD) artis atau band kegemaran. Sebuah album kaset berharga anggaran RM12.90 sehingga RM18 manakala sebuah album cakera padat pula berharga dari RM21.90 (album mini atau single) sehingga RM49.90.
Pada zaman tersebut (sekitar tahun 90-an), editor banyak membeli kaset kosong dan merakam lagu kegemaran daripada siaran radio yang ke udara. Dengan koleksi lagu yang ada, dari situ editor mula berjinak merakam sesi ke udara seperti rancangan radio dan rakaman tersebut dimainkan di tempat kerja untuk mendapat maklumbalas. Pada masa tersebut, peluang untuk ujibakat atau kerjaya di dalam bidang penyiaran radio sebagai penyampai radio adalah sangat terhad.
Editor hanya berkesempatan untuk mencapai impian bertugas sebagai penerbit/ penyampai radio selepas 5 tahun menamatkan pelajaran. Peluang keemasan ini digunakan untuk menimba ilmu dengan memperbaiki gaya penyampaian menggunakan bahasa yang betul selain tegas dalam etika penyiaran. Pemilihan lagu, penelitian lirik serta pengaturan ayat yang digunakan. Syukur alhamdulillah, editor berjaya bertahan di dalam bidang penyiaran radio selama lebih 10 tahun dan sehingga kini, masih lagi dengan minat yang sama walaupun di belakang tabir.
Ilmu dan kemahiran bidang penyiaran yang seiring dengan teknologi digital, editor gunakan dengan melahirkan saluran radio komuniti di platform digital iaitu secara atas talian (online). Projek ini dimulakan dengan Radio Kamek yang mula bersiaran pada tahun 2008. Sebelum 2008, beberapa projek radio juga dilakukan sebagai eksperimentasi.
Radio Kamek dianggap sebagai satu projek perintis yang berjaya kerana fokus dan mendapat respon yang cukup baik. Sasaran kepada penggemar muzik Malaysia, Indonesia dan Singapura amat bertepatan selain mempunyai kekuatan playlist tersendiri. Hasil daripada projek ini telah menjadikan kandungan radio dan playlist kamek diperluaskan ke rangkaian radio untuk pasaraya di Malaysia.
Perubahan zaman dan genre muzik serta pola pendengar juga telah menghasilkan jenama baharu iaitu Odeyo Stream. Odeyo Stream telah dilancarkan pada Mac 2023 yang dikendalikan/ dioperasikan oleh Wonder Wave Media Network. Ia mengambil alih fungsi Radio Kamek sebagai saluran streaming manakala pasukan Kamek kini lebih memfokuskan kepada penelitian lagu dan penyedia playlist. Platform Odeyo Stream juga akan diperluaskan dengan lebih banyak kandungan audio dan podcast. Pendengar boleh menikmati strim audio di www.odeyostream.com dan media sosial @odeyostream