
Berita baik kepada pelajar baharu dan sedia ada di bawah tajaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kadar Elaun Sara Hidup (ESH) bagi pelajar baharu dan sedia ada terbabit akan dinaikkan bermula tahun depan. Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menterinya iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada hari ini.
Beliau berkata kenaikan kadar ESH itu akan memanfaatkan seramai 24,729 pelajar yang sedang ditaja untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara di bawah Program Penajaan KPT dan akan melibatkan implikasi kewangan kira-kira RM30.78 juta. Tambah beliau lagi, kadar ESH akan dinaikkan sebanyak 15 peratus bagi pelajar sarjana atau doktor falsafah (PhD) sedia ada dan baharu di luar negara serta di bawah Program MyBrainScience. Turut dinaikkan ialah kenaikan kadar ESH sebanyak RM100 sebulan kepada pelajar sedia ada dan baharu yang menerima biasiswa dan dermasiswa dalam negara.
Mohamed Khaled turut berkata, “Kenaikan RM100 sebulan ESH atau Elaun Wang Saku juga diperluaskan kepada pelajar-pelajar B40 (Bantuan Kewangan Asasi IPTA dan Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti) dan OKU (Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya dan Program Pendidikan Khas)”.
Kadar ESH atau Elaun Wang Saku semasa bagi Bantuan Kewangan Asasi ialah sebanyak RM208.33 sebulan; Bantuan Kewangan OKU (RM300 sebulan); Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti (RM300 sebulan) dan Program Pendidikan Khas ialah RM610 sebulan. Bagi pelajar sedia ada dan baharu di United Kingdom, Mohamed Khaled berkata kadar ESH diseragamkan dan tidak lagi mengikut kawasan memandangkan perbezaan indeks kos sara hidup di antara kawasan yang berlainan.
sumber: Awani