
Berbekalkan semangat yang kental, penyanyi terkenal, Aina Abdul tidak sabar untuk beraksi di konsert solo beliau. Dugaan ditempuhi berikutan beberapa persoalan pihak tertentu tentang kenapa dia berani menganjurkan konsert solo sedangkan belum pernah mempunyai album penuh.
Mempertahankan usaha beliau, Aina Abdul berpendapat, tidak semestinya penyanyi yang tidak mempunyai album penuh tiada peluang untuk mengadakan konsert solo. Penyanyi lagu ‘Sumpah’ itu berpendapat, pandangan negatif atau stigma sedemikian harus dikikis dalam pemikiran masyarakat.
Aina Abdul turut mengakui beliau pernah hampir berputus asa namun ujarnya “Untuk penyanyi generasi baharu macam saya, walaupun kita tak punya banyak lagu hit, kita masih boleh lakukan persembahan seperti ‘showcase‘ dan sebagainya.”. Baru-baru ini, Aina Abdul atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 30, mengakui dia tercabar dengan satu kenyataan yang mengatakan bahawa setiap penyanyi perlu ada album penuh untuk menganjurkan konsert.
Mengambil positif tentang komen tersebut, Aina menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk menghasilkan album. Aina juga tidak menafikan bahawa pelancaran album Imaji sebelum menjelang konsertnya di Axiata Arena adalah untuk menutup mulut pihak yang sering mempersoalkan kenapa dia mahu menganjurkan konsert solo sedangkan belum mempunyai album.
Album Aina Abdul bertajul Imaji memuatkan 14 buah lagu baharu ciptaan sepenuhnya Aina Abdul dan diterbitkan oleh Aina Abdul Entertainment Sdn Bhd. Penghasilan album penuh ini turut mendapat kerjasama daripada empat penerbit tersohor iaitu Mac Chew, Jenny Chin, Ezra Kong dan Affan Mazlan. Antara lagu yang terkandung di dalam album ini ialah Jangan Mati Rasa Itu, Imaji, Puas Sudah, Kejam, Bilang, Lost, Penat Jiwa dan banyak lagi.